Sabtu, 21 Desember 2013

rakyat cina indonesia hilang identiti


Membaca tesis kedoktoran Aimee Dawis, warganegara Indonesia berbangsa Cina, bertajuk “Orang Indonesia Tionghua mencari identitas” begitu menarik perhatian saya. Orang Cina Indonesia sudah tidak lagi kelihatan seperti orang Cina seperti di Malaysia. Indonesia mengamalkan asimilasi secara paksaan bermula tahun 1965, apabila jatuhnya regim komunis pimpinan Sukarno.

 
Suharto yang menggantikan Sukarno mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan orang Cina Indonesia dengan negara asalnya secara kekerasan. Asimilasi dilaksanakan seratus peratus. Cara hidup orang Cina diubah sepenuhnya menjadi orang Indonesia termasuk dari segi nama, pakaian, bahasa, sambutan perayaan dan segala cara hidup yang lain. Rancangan televisyen, radio, filem, sekolah, makalah, perayaan kebesaran dan sebagainya yang ada berbau kecinaan diharamkan. Proses ‘pengindonesiaan’ berlaku secara ekstrim. Tujuannya tidak lain, untuk membina sebuah negara bangsa. Hal ini tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku di Thailand dan Filipina, tetapi tidak seaggresif Indonesia.

Hari ini, orang Cina Indonesia tidak lagi seperti orang Cina. Mereka tidak ada beza langsung dengan orang Indonesia dari cara hidupnya. Hatta, perkara-perkara kecil melibat istilah juga dijaga rapi. Orang Cina di sana tidak dipanggil orang Cina Indonesia tetapi dipanggil orang Indonesia Tionghua. Negara Indonesia didahulukan berbanding dengan bangsa.

Semua ini mengingatkan saya iklan 1Malaysia di kaca televisyen yang disiarkan saban hari. Antaranya berbunyi, “nama saya Saifuddin, saya orang Melayu, nama Pugalmani a/l Maniam, saya orang India, begitulah seterusnya seterus orang Cina, Iban dan sebagainya. Kenapa kita tidak dahulukan Malaysia seperti saya orang Malaysia Melayu, orang Malaysia Cina atau orang Malaysia India? Hari ini kita sibuk memperkatakan bangsa Malaysia. Tidakkah wajar perkara sebegini ini diteliti walaupun kelihatan ‘kecil’ oleh penerbit?

Saya lihat dari sudut lain, cara kita menamakan universiti sudah tepat iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan sebagainya. Kenapa kita tidak praktikkan istilah yang sama dalam konteks anak bangsa yang hidup bersama di sini?

Membandingkan Malaysia dan Indonesia, ternyata bukan Melayu di bumi bertuah ini cukup bernasib baik dan beruntung. Mereka masih boleh mengekalkan semua identiti mereka, tanpa diubahsuai dan langsung tidak diasimilasikan.

Semuanya mengingatkan saya kepada ceramah Profesor Rupert Brown daripada Univeriti Sussex, England baru-baru ini, mengenai dinamika akulturasi di negara lain, di kalangan minoriti atau imigran. Akulturasi bermaksud peminjaman budaya orang lain (majoriti) untuk diamalkan (minoriti) tetapi tidak kekal. Misalnya, bangsa minoriti meminjam budaya majoriti seperti pemakaian baju Melayu dan bersongkok oleh bukan Melayu. Sama juga, seperti orang Melayu memakai pakaian tradisi bukan Melayu dan sebagainya. - Akhbar Tempatan
Tahukah anda bahawa penyanyi kelahiran Indonesia Agnes Monica adalah seorang yang berbangsa Cina. Namun apa yang kita lihat pada Agnes Monica langsung tidak menunjukkan ciri-ciri dan budaya Cina. Semuanya menjurus kepada  ke-Indonesian.
P/s: Bagaimana pula dengan masyarakat Cina di Malaysia? Adakah orang Cina di Malaysia membudayakan semangat Malaysia atau masih berkiblatkan budaya Cina (Negara nenek moyang mereka)?. Secara jujur kebanyakan masyarakat Cina di Malaysia mahukan lebih dari apa yang diperolehi oleh Orang Melayu dan Orang Pribumi di Malaysia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar